Sunday, March 24, 2019

Variasa Bahasa: Slanga dan Jargon

TUJUAN

Artikel ini ditulis dengan tujuan untuk menambah pengetahuan kepada pembaca mengenai bahasa slanga dan jargon. Dalam artikel ini akan dijelaskan mengenai perbezaan di antara slanga dan jargon, kaitan antara keduanya dengan Bahasa Melayu Standard, kedudukan bahasa slanga dan jargon dalam konteks Negara Brunei Darussalam dan juga contoh - contohnya.

1. NYATAKAN PERBEZAAN ANTARA SLANGA DENGAN JARGON / DEFINISI :
Slanga - Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2005), bermaksud ungkapan yang tidak termasuk dalam bahasa baku dan digunapakai dalam percakapan bukan formal. Slanga juga sebagai sebutan yang menyimpang dari landasan norma pertuturan. Bahasa Slanga merupakan bahasa yang mempunyai kelainan, termasuk dalam perbendaharaan kata yang dibaharui dan boleh berubah cepat. Bahasa Slanga digunakan oleh kalangan orang muda, contohnya mahasiswa/i dan kumpulan rock untuk mengelakkan kumpulan bahasa lain daripada mengetahui bahasa slanga yang digunakan (Adenan Ayob, Mohd Rashid Md Idris, Mohd Ra’in Shaari, 2010).


Jargon - Adalah kata-kata khusus pada suatu bidang keahlian yang digunakan secara terbatas. Kata-kata tersebut jarang digunakan dalam percakapan sehari-hari kerana kata-kata tersebut merupakan kod rahsia untuk kalangan tertentu seperti angkatan tentera, doktor dan sebagainya. Mereka mempunyai jargon tersendiri dan hanya difahami oleh golongan mereka. Menurut Chaer dan Agustina (2010), jargon adalah kepelbagaian bahasa yang digunakan secara terhad oleh golongan sosial tertentu. Walaupun, kata-kata yang digunakan tidak bersifat rahsia, namun ungkapan tersebut tidak mudah difahami oleh masyarakat umum.

2. APA KAITAN KEDUA - DUA KELAINAN BAHASA INI DENGAN BAHASA MELAYU
STANDARD?
Melalui pergaulan seharian, masyarakat muda cenderung dalam menggunakan bahasa slanga. Ini memberi impak negatif kepada kedaulatan negara kerana mereka terpengaruh dengan penggunaan bahasa tidak standard dalam penulisan mereka. Sebagai contoh, apabila menghantar pesanan ringkas (SMS) masyarakat selalunya menggunakan perkataan ringkas. Seperti menggunakan ‘caya’ daripada perkataan percaya. Jika perkara ini menjadi kebiasaan, ini dapat mencemarkan kedudukan Bahasa Melayu Standard serta menimbulkan kekeliruan bagi kumpulan remaja terhadap Bahasa Melayu Standard.

3. BAGAIMANAKAH KEADAAN BAHASA SLANGA DAN JARGON INI DALAM
KONTEKS NEGARA BRUNEI DARUSSALAM?
Di dalam konteks Negara Brunei Darussalam, keadaan bahasa slanga dan jargon adalah sangat terbatas kepada kelompok penutur yang tertentu terutamanya bagi bahasa slanga. Bahasa slanga yang sedia wujud pada biasanya di dalam bentuk akronim yang diketahui menurut keadaan akan tetapi diberikan maksud semantik lain. Ada remaja masih menggunakan bahasa slanga, contohnya TTM (teman tapi mesra). Slanga Bahasa Inggeris juga digunakan seperti otw (“on the way”) atau brb (“be right back”). Bahasa slanga kebiasaannya diambil dari bahasa daerah atau dialek. Perkataan seperti wang matusin yang di rujuk sebagai wang digunakan oleh beberapa golongan di negara ini. Bagi bahasa jargon, keadaannya tidak terbatas seperti bahasa slanga. Bahasa jargon di Negara Brunei Darussalam hadir mengikut keadaan profesi seseorang serta bidang yang mereka ceburi seperti bidang kedoktoran, angkatan tentera dan sebagainya.

4. BERIKAN CONTOH - CONTOH BAHASA SLANGA DAN JARGON YANG
DIGUNAKAN DI NEGARA INI.
Slanga :
  1. Geng - Kawan
  2. On - Setuju
  3. Ngam - Betul
  4. Makasih - Terima Kasih
  5. Sha - Sahaja

Jargon :
  1. Lingua Franca - Bahasa Perhubungan
  2. Kod Lapan – Digunakan apabila pegawai polis memerlukan bantuan kecemasan
  3. FTP – Seseorang gagal membayar denda
  4. He - Simbol unsur untuk gas Helium
  5. POTUS - President of the United States

Oleh: Afiqah K. & Syafinaz A.

Rujukan :
1. Farasha HCF. (2014). 1.0 Pendahuluan.
Diakses pada 14 Mac, pukul 8.15 pagi dari https://prezi.com/1pfzvfme6k8u/10-pendahuluan/

2. (2013). Kajian Sosiolinguistik: Kajian Teoretis dan Pratis: Variasi Bahasa: Slang dan Jargon.
Diakses pada 14 Mac, pukul 8.18 pagi dari  
https://widiyantoroagungpbsi05.wordpress.com/2013/06/11/variasi-bahasa-slang-dan-jargon/

3. (2013). Slang versus Jargon.  Diakses pada 14 Mac, pukul 12.12 tengahari
dari https://www.slideshare.net/svetlanamorari/slang-versus-jargon

No comments:

Post a Comment