Monday, March 18, 2019

Kata Majmuk

Kata Majmuk

Tujuan:

Salah satu tujuan perkongsian rencana ini adalah untuk mendidik pengguna Bahasa Melayu mengenai dengan maksud kata majmuk. Ia juga bertujuan untuk memperlihatkan kesilapan-kesilapan yang sentiasa di buat oleh pengguna Bahasa Melayu secara umum. Seterusnya, untuk mempamerkan bentuk dan struktur ayat mengenai kata majmuk yang betul.

Objektif:

Objektif dalam perkongsian rencana ini adalah;

1) Menerangkan perbezaan antara kata majmuk ditulis secara terpisah dengan kata majmuk yang ditulis secara bergabung.
2) Membetulkan kesalahan dalam penulisan kata majmuk di kalangan pengguna bahasa melayu.
3) Menerangkan proses penggandaan yang dilalui oleh kata majmuk.

Nyatakan perbezaan antara kata majmuk ditulis terpisah dengan kata majmuk ditulis bergabung.

Secara umum, kata majmuk ialah suatu yang difahami sebagai gabungan dua atau lebih perkataan. Cikgu Hazlian (2008) menyatakan bahawa kata majmuk ialah perkataan yang terbentuk melalui gabungan dua patah perkataan atau lebih untuk membentuk suatu perkataan yang baharu yang membawa maksud yang tersendiri. Contohnya ialah seperti "kereta" dan "api" yang mana dua patah perkataan ini mempunyai maksud yang berlainan. Akan tetapi jika dua patah perkataan ini digabungkan ianya membawa maksud yang lain iaitu kenderaan awam berlandasan yang boleh bergerak bersama untuk membawa muatan atau penumpang dari satu tempat ke tempat yang lain melalui laluan tertentu. Contoh kata majmuk yang lain ialah seperti  kapal terbang, jalan raya, payung terjun dan lain-lain. Ianya adalah merupakan kata majmuk berbentuk rangkai kata umum dan istilah yang unsurnya terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.

Kata majmuk terbentuk daripada 2 kata dasar atau lebih yang membawa 1 makna. Ianya bertindak sebagai satu unit dan lazimnyadieja terpisah ataupun ditulis serangkai. Hubungan makna antara kata-kata dasar yang membentuk kata majmuk itu sangaterat hinggakan tidak boleh menerimasebarang penyisipan unsur lain. 

Kata majmuk yang ditulis secara terpisah terbahagi kepada 5 jenis iaitu; dua rangkai kata bebas, istilah khusus, gelaran, simpulan bahasa dan hubungan parataksi. Contoh dua rangkai kata bebas ialah seperti: 

  1. Gambar rajah
  2. Air batu
  3. Ikan keli
  4. Gempa bumi
  5. Jam tangan
  6. Alat tulis
  7. Kuning langsat
  8. Meja tulis
  9. Bom tangan
Kata istilah khusus terbentuk daripada 2 kata bebas mahupun 3 kata bebas dieja dengan terpisah. Contohnya ialah seperti:


2 kata bebas
3 kata bebas
Batu kapur
Kaedah bayar balik
Garis pusat
Lintasan bebas min
Kanta tangan
Min jangka masa
Kawasan pinggiran
Nisbah bayar balik
Kertas kerja
Susu pekat manis
Tanah gambut
Telefon dail terus

Gelaran adalah kata majmuk yang terbentuk daripada kata yang digunakan sebgai gelaran. Contohnya ialah seperti:


Kata Majmuk Sebagai Gelaran

Duta Besar
Ketua Setiausaha Negara
Ketua Menteri
Timbalan Perdana Menteri
Menteri Besar
Raja Muda
Naib Presiden
Setiausaha Politik
Pegawai Daerah
Perdana Menteri

Simpulan bahasa ialah gabungan kata yang merupakan simpulan bahasa yang dieja secara terpisah. Contohnya ialah seperti:


Kata Majmuk daripada Simpulan Bahasa

Buah hati
Duit kopi
Anak emas
Makan angin
Kata dua
Ibu ayam
Gaji buta
Harga diri
Pilih kasih
Panjang tangan

Hubungan Parataksis adalah gabungan kata yang dihasilkan daripada hubungan parataksis atau disebut rangkai kata setara hendaklah ditulis secara terpisah. Contohnya ialah seperti:



Kata Majmuk daripada Hubungan Parataksis

Tua muda
Sana sini
Hidup mati
Rupa paras
Adik kakak
Tunjuk ajar
Ibu bapa
Cantik molek
Miskin kaya
Makan minum


Manakala, kata majmuk yang ditulis bergabung menurut Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (2003:75) telah menyeneraikan 15 perkataan yang terdiri daripada kata majmuk yang mana penggunaannya sudah mantap sebagai perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mempunyai 2 kata dasar. Perkataan-perkataan ini tetap dieja sebagai 1 perkataan. Diantara contoh-contoh perkataan ialah seperti:

Antarabangsa
Olahraga
Beritahu
Kerjasama
Bumiputera
Tanggungjawab
Jawatankuasa
Warganegara
Setiausaha
Suruhanjaya


Oleh itu, melalui contoh-contoh diatas boleh dilihat dengan jelas perbezaan diantara kata majmuk yang ditulis secara terpisah dan yang ditulis secara bergabung.

Apakah bentuk kesalahan dalam penulisan kata majmuk bahasa Melayu?


Sehingga kini ada diantara pengguna bahasa Melayu yang masih keliru dan kurang memahami konsep atau maksud kata majmuk. Kesalahan ini terjadi disebabkan penggunaan kata hubung yang tidak tepat atau kesalahan dalam ayat. Kekerapan kesalahan dalam penggunaan ayat majmuk oleh para pelajar dan pengguna bahasa yang lain dapat dilihat dalam kajian yang dilakukan oleh ramai pengkaji lain.


Berhubung dengan kesalahan ayat bahasa Melayu yang diambil daripada susunan ayat bahasa asing, para pengkaji bersepakat bahawa ayat yang terdapat kesalahan padanya ialah kesan pengaruh daripada bahasa Inggeris, bahasa daerah, bahasa ibunda atau bahasa seharian.

Selain itu, kesalahan-kesalahan lain yang sering dilakukan oleh pelajar dalam penulisan akibat ketidakfahaman peraturan dalam binaan ayat termasuk kesalahan dalam binaan subjek dan predikat. Kesalahan tersebut ialah:

1) Kesalahan struktur ayat tunggal

2) Kesalahan struktur ayat majmuk gabungan. Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah kesalahan menggunakan kata hubung, kesalahan kerana mengulang subjek yang sama dan kesalahan kerana mengulang kata kerja yang sama.

3) Kesalahan struktur ayat majmuk relatif

4) Kesalahan struktur ayat majmuk komplemen. Kesalahan yang biasa dilakukan dalam penulisan ayat majmuk komplemen ialah ayat tiada penanda (kata) komplemen iaitu “bahawa” dan “untuk”.

5) Kesalahan struktur ayat majmuk keterangan. Ayat majmuk keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat. Kesalahan yang sering dilakukan dalam penulisan ayat majmuk ini ialah: tiada kata hubung yang berfungsi sebagai kata keterangan, penggunaan kata hubung yang berfungsi sebagai penanda keterangan yang salah.

6) Kesalahan struktur ayat aktif dan ayat pasif.

Kesalahan dalam penulisan kata majmuk bahasa melayu adalah seperti berikut:
Salah – Betul
  • Ambilalih – Ambil alih
  • Tengahari – Tengah hari
  • Gambarajah – Gambar rajah
  • Matapelajaran – Mata pelajaran
  • Aturcara – Atur cara
  • Kemaskini – Kemas kini
  • Urusetia – Urus setia
Penggandaan kata majmuk – melibatkan penggandaan unsur pertama sahaja:
Salah – Betul
  • Guru Besar – Guru-Guru Besar
  • Kapal Terbang – Kapal-Kapal Terbang
  • Suku Kata – Suku-Suku Kata
Bagi bentuk yang telah mantap:
Salah – Betul
  • Setiausaha – Setiausaha-Setiausaha
  • Jawatankuasa – Jawatankuasa-Jawatankuasa
  • Tandatangan – Tandatangan-Tandatangan
Pengimbuhan kata majmuk – imbuhan awalan dan akhiran:
Salah – Betul
  • Daya serap – Daya Serapan
  • Campur aduk – Bercampur aduk
  • Ambil alih – Mengambil alih
Imbuhan Apitan:
Salah – Betul
  • Urus niaga – Diurusniagakan
  • Daya serap – Kedayaserapan
  • Campur aduk – Mencampuradukkan
Kata ganda – penggandan separa:
Salah – Betul
  • Laki – Lelaki
  • Tolong – Tolong-menolong
  • Layang – Lelayang
Penggandaan kata – kesilapan kerana menggandakan perkataan yang mengikuti kata bilangan:
  • Banyak organisasi-organisasi – Banyak organisasi
  • Empat unsur-unsur – Empat unsur
Kesilapan dalam membentuk kata bilangan:
Salah – Betul
  • Antara tugas-tugas – Antara tugas
  • Antara kedua tugas – Antara kedua-dua tugas
  • Para-para petugas – Para petugas
  • Setengah koperasi – Setengah-setengah koperasi
Kesilapan disebabkan menggandakan kata yang megikuti kata yang bermaksud kumpulan:
Salah – Betul
  • Barisan pemain-pemain – Barisan pemain
  • Golongan pelajar-pelajar – Golongan pelajar
  • Antologi cerpen-cerpen – Antologi cerpen
  • Gabungan kata-kata – Gabungan kata 

Mengapakah masyarakat Melayu lazimnya melakukan kesilapan dalam penulisan ejaan kata majmuk sedangkan hal tersebut sedari mula diajarkan di sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam?

Antara sebab mengapa masyarakat Melayu lazimnya melakukan kesilapan dalam penulisan ejaan kata majmuk adalah tidak menambah ilmu pengetahuan dan menerima ilmu-ilmu yang diberi sahaja. Ini bermaksud masyarakat Melayu lazimnya mengambil ilmu pengetahuan yang diperolehi sahaja bukan ingin mencari lebih akan ilmu bahasa ini. Dalam konteks Brunei, ini bermaksud masyarakat Melayu "bersyukur-syukur" menerima dan mengambil ilmu yang diberikan. Walhal kita sebagai seorang manusia memang digalakkan untuk sentiasa menimba ilmu pengetahuan. Antara kesilapan yang sering di buat menurut Cikgu Azemi (2011) adalah temuramah yang sepatutnya merupakan temu ramah. Seterusnya, salah satu kesilapan masyarakat Melayu melakukan kesilapan dalam penulisan ejaan kata majmuk adalah tidak terbiasa dengan Bahasa Melayu Standard. Sesetengah masyarakat Melayu pada masa kini lebih cenderung dengan menggunakan Bahasa Inggeris, hal ini menyebabkan mereka lazimnya tidak dapat menguasai Bahasa Melayu sepenuhnya. Justeru itu, mereka seharusnya lebih memfokuskan Bahasa Melayu Standard daripada Bahasa Inggeris kerana Masyarakat Melayu bertutur dengan menggunakan Bahasa Melayu.

Selain diberikan imbuhan, kata majmuk juga melalui proses penggandaan. Sila huraikan mengenai proses tersebut dan berikan contoh-contohnya.

Bukan sahaja kata majmuk diberi imbuhan namun kata majmuk juga terdapat proses penggandaan. Proses penggandaan ini melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja sebagai contoh:

  • Alat-alat tulis
  • Naib-Naib Canselor
  • Menteri-Menteri Besar 
  • Suku-suku kata
  • Guru-guru besar
Namun terdapat pengecualian dalam segi aspek lain iaitu penggandaan yang melibatkan simpulan bahasa dan bentuk yang telah mantap dalam erti kata lain penggandaan yang melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya:


  • Pesuruhjaya-pesuruhjaya
  • Setiausaha-setiausaha
  • Anak emas-anak emas
  • Kaki bangku-kaki bangku
  • Buah hati-buah hati


Rujukan

  1. CGHAZLIAN (2008). Kata majmuk. Diakses dari http://cghazlian.blogspot.com/2008/04/kata-majmuk.html
  2. Hafizah Hamid, Penulisan Kata Majmuk. (n.d). Diakses dari https://www.scribd.com/doc/35300063/PENULISAN-KATA-MAJMUK-1
  3. Mari Belajar Bahasa Melayu. Kata Majmuk. (n.d.). Diakses dari https://sites.google.com/site/cikguaisahmrsmbalikpulau1/products-services/kata-majmuk
  4. Kesalahan umum dalam bahasa melayu. Diakses dari https://www.slideshare.net/mazuem_superb/tatabahasa-37663855
  5. Nasruddin Radzi. (2012). Analisis Kesalahan Penggunaan Tatabahasa. Diakses dari http://nasruddinradzi.blogspot.com/2012/11/analisis-kesalahan-penggunaan.html
  6. Rozali Rajab. (2012). Kesalahan Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat Majmuk-siti Sabariah Bt Kasmiran [Diselenggarakan Oleh Rozali Rajab]. Diakses dari http://cikgu-rozali.blogspot.com/2012/05/kesalahan-bahasa-dalam-kalangan.html
  7. Ahmad Rasid Takim. (2012). Kesilapan Dalam Penggunaan Kata Majmuk. Diakses dari http://rasidtakim.blogspot.com/2012/12/kesilapan-dalam-penggunaan-kata-majmuk.html
  8. Cikgu Azemi. (2011). Kesalahan Biasa Kata Majmuk. Diakses dari https://azemi09.wordpress.com/2011/07/18/kesalahan-biasa-kata-majmuk/ 
  9. Andy Kong. (2012). Penggandaan Dan Pengimbuhan Kata Majmuk. Diakses dari http://lilinpendidik.blogspot.com/2012/11/penggandaan-dan-pengimbuhan-kata-majmuk.html















No comments:

Post a Comment